Sistem Pendidikan Negara telah mengalami
evolusi penting sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Evolusi
pendidikan ini telah melalui lima fasa berikut:
- Zaman
Pramerdeka (sebelum 1957);
- Zaman
Pasca Merdeka (1957-1970);
- Zaman
Dasar Ekonomi Baru (1971-1990);
- Zaman
Dasar Pembangunan Negara (1991-2000); dan
- Zaman
Dasar Wawasan Negara (2001-hingga sekarang).
Zaman Pramerdeka
Semasa pentadbiran British, sekolah-sekolah di
Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran , iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah
Melayu, Sekolah Cina dan sekolah Tamil. Setiap sekolah mempunyai bahasa
penghantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza di antara satu sama lain.
Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem
persekolahan. B eberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem
persekolahan pada masa itu dan menghasilkan laporan-laporan berikut:
- Laporan
Barnes (1951) – menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu;
- Laporan
Fenn-Wu (1951) – menyemak pendidikan kaum Cina;
- Ordinan
Pelajaran (1952) – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem
persekolahan kebangsaan; dan
- Laporan
Razak (1956) – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk
memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan
pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.
Zaman Pasca Merdeka(1957-1970)
Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha ditumpukan
untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan
Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang
mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan
Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960.
Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961
yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua
peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk
semua pelajar.
Dasar pendemokrasian
pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan
percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas dengan mengadakan pendidikan
universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan pemilihan masuk ke sekolah
menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan peperiksaan pemilihan ini menyebabkan
peningkatan kadar penyertaan ke sekolah menengah. Kadar ini terus meningkat
apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada
11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992.
Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah satu falsafah
pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan
perkembangan ekonomi (Universiti Terbuka Malaysia, 2008). Dalam tempoh ini,
pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam
masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.
Pada masa ini juga Sistem Pendidikan
Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan
sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat
menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak
pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut
diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah
rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa
Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik
diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan
Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi
menghasilkan tenaga kerja mahir.
Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan
dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran
(1979) telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk
memantapkan sistem pendidikan. Pada tahun 1980-an, peluang pendidikan untuk
warganegara turut ditingkatkan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan
infrastruktur terutama di luar bandar. Seterusnya Falsafah Pendidikan
Kebangsaan telah digubal pada tahun 1988 bagi memperteguh hala tuju dan
matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh
dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek.
Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara. Asas perundangan bagi pelaksanaan dasar pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan beberapa akta yang berkaitan dengan pendidikan, misalnya Akta Pendidikan 1996; Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996; Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan lain-lain.
Selain itu, banyak lagi perubahan berlaku
dalam bidang pendidikan termasuk:
- Peningkatan
akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari;
- Perkembangan
ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999;
- Menaiktarafkan
kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma;
- Menaiktarafkan
Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI); dan
- Menaiktarafkan
Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.
Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga
sekarang)
Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya: Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002); Program Bimbingan dan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002); Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003; Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003); dan banyak lagi program-program pendidikan diperluas.
Perubahan paling signifikan dalam sejarah
perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM
dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah,
sekolah menengah, matrikulasi dan pendidika







































































































